Pusat tuisyen: Bantu, jangan kaut untung

0 comments

Umum mengetahui, kelas tuisyen adalah kelas tambahan bagi murid-murid lemah dalam mata pelajaran tertentu dan kelas ini dihadiri selepas tamat sesi persekolahan.

Namun, seiring dengan perkembangan zaman berteknologi, rata-rata ibu bapa menghantar anak mereka ke kelas tuisyen atas alasan ketiadaan masa untuk memantau subjek pelajaran anak-anak, apatah lagi mengajar di rumah.

Maka, ibu bapa ini berasakan jalan penyelesaian terbaik adalah menghantar anak-anak ke kelas tuisyen.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan ramai ibu bapa mengambil pendekatan menghantar anak mereka ke kelas tuisyen beranggapan sistem pembelajaran diberikan oleh guru-guru tuisyen lebih baik daripada guru di sekolah.


Memberi maklum balas terhadap tanggapan segelintir ibu bapa ini, pengetua tuisyen Kelas Cikgu Mariyam, Mariyam Abd Kader menegaskan, tanggapan sedemikian tidak tepat dan tidak wajar.

Mariyam berpengalaman lebih 20 tahun dalam mengurus dan mengajar memberitahu, kewujudan kelas tuisyen adalah sebagai membantu meringankan masalah dihadapi murid-murid dalam mata pelajaran tertentu.

“Saya tidak bersetuju jika mengatakan guru di sekolah mengajar tidak baik. Kerana baik atau tidak penerimaan seseorang murid terhadap satu-satu subjek itu sebahagian besarnya masih terletak di bahu murid itu sendiri.

“Saya percaya setiap guru mahukan anak didik mereka berjaya dalam mata pelajaran yang mereka ajar, walaupun tidak dinafikan terdapat guru-guru mengajar sambil lewa. Namun, jumlah guru-guru sebegitu sangat kurang,” katanya.

Mariyam berkata, suasana pembelajaran merupakan salah satu faktor proses penyampaian ilmu itu berjaya atau sebaliknya.

“Di kelas tuisyen, bilangan murid untuk satu kelas biasanya kecil. Paling ramai biasanya 12 orang berbanding di sekolah, satu kelas kadang-kala mencapai 40 murid. Secara tidak langsung, penumpuan guru itu sendiri menjadi terbatas kerana perlu memantau bilangan murid yang ramai.

“Hal ini menjadi lebih berat kerana kebanyakan guru-guru kini turut diberikan tugasan selain mengajar seperti kerja-kerja dokumentasi dan perlu menghadiri kursus atau mesyuarat. Oleh itu, untuk memberi tumpuan 100 peratus di dalam kelas adalah sangat mustahil,” katanya.

Kerana hal-hal sebeginilah, Mariyam berkata, wujudnya lambakan kelas tuisyen lantaran terdapat permintaan daripada pihak ibu bapa dan murid itu sendiri.

“Tidak semua kelas tuisyen bertujuan mengaut keuntungan semata-mata. Tidak adil jika menjustifikasikan kelas tuisyen seperti didakwa segelintir pihak yang kurang peka dengan keperluan adanya tuisyen di zaman kini.

“Seperti yang saya nyatakan dari awal tadi, kelas tuisyen bertujuan membantu murid-murid yang lemah dalam subjek tertentu. Kebanyakan mereka mengikuti kelas tuisyen, kerana ingin maju di dalam subjek terbabit. Bilangan rakan kelas yang kurang, memberi mereka peluang berinteraksi terus dengan guru dan membincangkan permasalahan mata pelajaran yang dihadapi,” katanya.

Menurutnya, secara tidak langsung ini dapat membantu meringankan tugas guru di sekolah dalam memberi pemahaman kepada murid kerana selain di dalam bilik darjah, murid juga mempunyai alternatif lain untuk dirujuk.

“Isu guru tuisyen lebih baik mengajar daripada guru di sekolah tidak seharusnya timbul. Semua orang, terutamanya ibu bapa harus faham, kewujudan kelas tuisyen bukanlah sebagai pengganti atau cuba mengambil alih peranan mendidik murid-murid daripada guru di sekolah, tetapi lebih kepada membantu.

“Setiap yang sukar itu, jika ada bantuan akan menjadi mudah. Lebih-lebih lagi dalam soal memberi pemahaman dan pendidikan kepada anak-anak yang merupakan aset kepada negara, soal membantu itu telah menjadi satu kewajiban,” katanya.

Mariyam berkata, kini soal bayaran kelas tuisyen yang mahal bukanlah satu masalah besar oleh kebanyakan ibu bapa.

“Rata-rata ibu bapa sanggup berhabis wang demi pendidikan anak-anak. Yuran tuisyen yang mahal bukan kerana mahu kaut untung, tetapi bayaran untuk cikgu yang mengajar adalah tinggi. Kebanyakan mereka terdiri daripada guru berpengalaman dan dari kalangan tenaga pengajar yang terbaik. Selain kos premis tuisyen yang tinggi kini,” katanya
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SK Tg Piandang - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger