Sejarah Sekolah

Sekolah Kebangsaan Tanjong Piandang ini terletak di atas Lot No. 1321 848A dan 1965 dengan keluasan 3e.1r.17p. Kawasan sekolah ini berhampiran dengan pekan Tanjong Piandang di tepi jalan raya menuju ke Titi Serong. 

Bangunan sekolah yang mula-mula sekali dibina ialah sebuah bangunan dua bilik darjah (JKR 183) berukuran 40 x 25 kaki persegi menempatkan murid seramai 70 orang. Bangunan ini didirikan oleh kerajaan dalam tahun 1900. Guru Besar yang pertama ialah Allahyarham Cikgu Lebai Ibrahim dan beliau berkhidmat di sini selama 10 tahun. 

Pada tahun 1928, kerajaan telah mendirikan sebuah bangunan 27 x 17 kaki persegi (JKR 184) yang boleh menempatkan 30 orang murid. Pertambahan murid yang meningkat dari tahun ke tahun telah menyebabkan kerajaan membina bangunan JKR 560 pada tahun 1938 dengan keluasan 65 x 25 kaki persegi yang dapat memuatkan 100 orang murid. 

Selepas perang dunia ke dua, pertambahan murid terus meningkat, maka dalam tahun 1949, Jawatankuasa Penasihat Sekolah dengan kerjasama penduduk tempatan telah merancang untuk membina sebuah bangunan sementara dengan perbelanjaan yang disumbangkan oleh orang ramai. Setelah menempuh pelbagai rintangan, bangunan tersebut telah dibina pada 18 April 1954. Selepas bangunan didirikan, Jawatankuasa Penasihat Sekolah telah berusaha keras menemui pihak RIDA dan Pejabat Pelajaran Perak bagi memohon bantuan alatan dan perabot sekolah. Pada 6 Jun 1955, bangunan itu digunakan untuk satu bilik darjah sahaja yang menempatkan 40 orang murid darjah lima. Akhirnya pada 1 Julai 1957, keseluruhan bangunan itu dapat digunakan untuk enam bilik darjah dengan keramaian murid berjumlah 225 orang. Bangunan itu dibesarkan lagi pada 17 Julai 1957 menjadi lapan bilik darjah dan jumlah murid meningkat kepada 352 orang. Perbelanjaan menyediakan bangunan tersebut dianggarkan berjumlah RM 4,000.00.
Pada 29 Ogos 1958, sebuah lagi bangunan telah didirikan oleh kerajaan. Bangunan ini mengandungi empat bilik darjah dengan keluasan 120 x 25 kaki persegi. Apabila pembinaan ini siap pada 26 September 1958, bangunan lama yang diusahakan oleh orang ramai dirobohkan. 

Pada awal tahun 1968, kerajaan telah membina sebuah bangunan kayu seluas 120 x 30 kaki persegi, mengandungi empat bilik darjah bernombor JKR 877. Pembinaan bangunan ini dijalankan serentak dengan penambakan seluruh kawasan tanah sekolah dan menyediakan sebuah padang permainan serta dipagarkan sekeliling kawasan sekolah. Bangunan ini telah dirasmikan oleh YB En. Mohd. Khir B. Johari, Menteri Pelajaran Malaysia pada 9 Mac 1969. 

Oleh kerana pertambahan murid terus meningkat, kerajaan telah membina sebuah lagi bangunan dua tingkat lengkap dengan pejabat, bilik Guru Besar, bilik guru, stor, perpustakaan, bilik televisyen, klinik pergigian, enam buah bilik darjah, tandas guru dan tandas murid. Bangunan ini seluas 200 x 30 kaki persegi bernombor JKR 1127. Bangunan ini telah dirasmikan oleh YB Dato Musa Hitam SPMJ.S.I.I.J selaku Menteri Pelajaran Malaysia pada 30 Mei 1981. 

Setelah satu abad berlalu, dalam tahun 2002, SK Tanjong Piandang masih berdiri megah dan terus menuju kejayaan dalam pelbagai bidang. Kini, terdapat tiga buah bangunan bilik darjah iaitu JKR 877 bangunan kayu setingkat (1969), JKR 1127 (1981), bangunan dua tingkat dan tiga tingkat (1986). Sekolah juga dilengkapkan dengan sebuah kantin (1966), sebuah surau (1990) dan sebuah makmal komputer (2001) yang menempatkan 40 buah komputer untuk kegunaan murid-murid.

Sebuah bangunan empat tingkat telah mula dibina pada April 2002 dan siap pada pertengahan tahun 2003. Ia menjadi kenyataan dengan perolehan tambahan kawasan seluas 2.7 ekar pada tahun 2000. Bangunan ini dilengkapkan dengan pejabat, bilik mesyuarat, bilik guru, pusat sumber, makmal sains, bengkel kemahiran hidup, bilik muzik, stor sukan, lapan bilik darjah dan tandas. Selain itu, sekolah juga dilengkapi dengan sebuah padang permainan, sebuah dataran kejat, pintu masuk utama bertembok batu beserta pondok pengawal keselamatan. Projek ini juga melibatkan pembinaan pagar baru di sekeliling kawasan tapak sekolah yang baru dan pemindahan rumah pam air serta tangki najis utama. 

Kini, terdapat seramai orang murid termasuk dua kelas Pra Sekolah yang melibatkan 50 orang murid menuntut di sekolah ini termasuk dua kelas Pendidikan Khas yang mempunyai 14 orang murid. Hal ini membuktikan keperihatinan pihak sekolah kepada murid-murid istimewa untuk menuntut ilmu di sekolah ini. Sekolah ini juga telah menukarkan persekolahan ke satu sesi iaitu sesi pagi mulai April 2004. Tenaga pengajar pula seramai 56 orang guru lepasan diploma dan berijazah. Ia terdiri daripada seorang Guru Besar, PK Pentadbiran, PK HEM, PK Kokurikulum dan seramai 52 orang guru penolong. Staf sokongan pula melibatkan lima belas kakitangan kerajaan dan termasuk tiga orang pengawal keselamatan.
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SK Tg Piandang - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger