1.4 juta Kakitangan awam terima faedah

0 comments

Kira-kira 1.4 juta kakitangan awam bakal menikmati pelbagai faedah dan insentif menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dilaksanakan mulai tahun depan dengan beberapa perubahan seperti skim pencen, gaji dan elaun serta prospek perjawatan dengan tempoh perkhidmatan yang dilanjutkan sehingga usia 60 tahun.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata semua kakitangan awam yang dilantik selepas 1991 diwajibkan berkhidmat sehingga berusia 58 tahun semasa dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) tetapi syarat itu dimansuhkan kerana SBPA memberi pencen pilihan kepada penjawat awam.


"Sebelum ini, kakitangan awam yang mula berkhidmat sebelum 1991 saja diberi kelonggaran memilih untuk bersara sama ada pada usia 56 atau 58 tahun, manakala perkhidmatan selepas 1991 diwajibkan berkhidmat dan bersara pada usia 58 tahun.

"Selain itu, SBPA turut memberi manfaat kepada kakitangan awam yang cemerlang dalam perkhidmatan tetapi tidak mempunyai laluan dan peluang untuk naik pangkat disebabkan tiada kekosongan, boleh memilih untuk bersara tanpa kehilangan ganjaran dan pencen," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Pahang Bersama CUEPACS dalam Isu Semasa yang dihadiri kira-kira 1,000 orang di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh, kelmarin.
Selain itu, katanya prospek perjawatan turut membuka ruang kepada penjawat awam untuk kenaikan pangk at tanpa menunggu kekosongan jawatan dan hanya memerlukan beberapa syarat seperti tempoh perkhidmatan, prestasi kerja dan cekap serta aktif dalam tugas.

"CUEPACS tidak mahu Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) diteruskan kerana peperiksaan itu tidak mencerminkan kecekapan dan kecemerlangan seseorang individu itu kerana dinilai melalui peperiksaan saja.

"Ada pegawai muda yang tidak berpengalaman tetapi boleh lulus dengan baik, manakala pegawai yang berusia tidak mencapai tahap kecekapan yang dikehendaki sebaliknya lebih berpengalaman dan sentiasa dianggap pakar rujuk jabatan masing-masing, terus tertinggal," katanya.

Omar turut memaklumkan perjawatan gred 1 sehingga gred 16 akan dijumudkan kepada perjawatan tangga gaji gred 17 dan secara tidak langsung, gaji baru paling minimum kira-kira RM800 tidak termasuk elaun.

"Selepas ini, gaji minimum penjawat awam sokongan bermula kira-kira RM1,500 termasuk pelbagai elaun dan bakal menjana semangat dan perubahan sikap mereka. Saya berharap semua kakitangan awam seharusnya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan dan memberi perkhidmatan yang lebih cemerlang setanding di negara maju.

"Selain itu, beberapa perjawatan selain menikmati gaji baru, stail bekerja turut berubah dan perubahan itu selari dengan kehendak keadaan semasa khususnya penjawat awam sokongan," katanya.

Omar berkata CUEPACS juga akan berbincang dengan kerajaan agar kira-kira 20,000 kakitangan awam kontrak yang bakal dihentikan perkhidmatan mereka akhir bulan ini disambung semula.

Katanya, semua kakitangan awam terbabit sudah memberi perkhidmatan yang baik dan turut meningkatkan produktiviti perkhidmatan di sektor masing-masing.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SK Tg Piandang - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger