Kantoi silap dail nombor

0 comments

Mengundang padah! Hasrat seorang kakitangan sebuah hospital untuk mendapatkan bekalan pil kuda daripada ‘tauke dadah’ tidak kesampaian setelah dia tersalah membuat tempahan dengan mendail nombor telefon salah seorang Pegawai Polis Narkotik Kuala Terengganu, kelmarin.

 Suspek, 48, yang merupakan kakitangan bahagian forensik sebuah hospital itu difahamkan pada awalnya ingin menghubungi ‘tauke dadah’ berkenaan untuk mendapatkan bekalan dadah, namun dia tersilap langkah apabila nombor yang dihubungi itu adalah milik seorang Pegawai Polis Narkotik Kuala Terengganu.

Suspek difahamkan telah membuat tempahan sebanyak dua biji pil kuda untuk dijadikan bekalan supaya tidak mengantuk atas alasan ingin menghantar isterinya yang sarat mengandung lapan bulan ke rumah mentuanya di Besut.

Bagaimanapun, suspek yang bakal menerima cahaya mata pertama selepas sembilan tahun berkahwin terkedu apabila tangannya digari dan bukannya pil kuda yang diterima ketika menghulurkan wang kepada pegawai polis yang disangka ‘tauke dadah’ itu di hadapan bilik mayat hospital terbabit kira-kira jam 1 tengah hari.

Selepas ditahan, suspek dibawa ke Jabatan Narkotik, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) untuk ujian saringan air kencing dan hasilnya, dia didapati positif pil kuda.

Sementara itu, menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid (gambar) berkata, siasatan awal mendapati suspek telah terlibat dengan pengambilan pil kuda sejak lapan tahun lalu.

“Namun, suspek membuat pengakuan yang dia sudah lama berhenti mengambil pil kuda itu dan kini, baru mula berjinak untuk mengambilnya semula.

“Suspek kini ditahan reman sehingga 15 Julai ini untuk siasatan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya, semalam.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SK Tg Piandang - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger