Artis popular dan hidayah

0 comments

HIDAYAH itu ialah petunjuk yang dikurniakan Allah kepada manusia untuk mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Allah berfirman maksudnya: Sesiapa yang Allah kehendaki mendapat hidayah nescaya dilapangkan dadanya untuk menerima Islam dan sesiapa yang dikehendaki sesat nescaya dijadikan dadanya sempit dan sesak seolah-seolah naik ke langit. Demikianlah Allah menimpakan kehinaan kepada orang yang tidak beriman. (al-An'am: 125)
Sham Kamikaze atau nama sebenarnya Shamril Mohd. Salleh diberi hidayah apabila Imam Sudais atau Imam Abdul Rahman Al-Sudais, Imam Besar Masjidil Haram menghulurkan tangannya untuk bersalaman. Ketika itu Imam Sudais dalam kunjungan ke sebuah masjid di Kangar, Perlis.
Pertemuan yang tidak dirancang itu menimbulkan teka-teki kepada diri Sham. Lantas mempersoalkan adakah dia sedang bermimpi atau sebaliknya? Seterusnya terpacul keinginan untuk mengenali gerangan insan hebat yang baru dikenalinya itu.

"Kalau hendak tahu itulah imam besar Mekah atau lebih dikenali Imam Sudais," jawab temannya yang ketika itu ada bersama Sham.
Biarpun singkat pertemuan itu, namun ia membawa seribu pengertian bagi diri Sham. Apa tidaknya, bukan sembarangan orang dapat bersalam dengan Imam Sudais. Tambahan pula dia dikira orang yang paling bertuah pada hari itu kerana 'rezekinya' dapat menyambut tangan Imam Sudais itu.
Bertitik tolak dari peristiwa itu, telah berlaku satu transformasi daripada seseorang yang bergelar artis popular kepada seorang daei atau pendakwah yang menjalankan kerja-kerja dakwah di serata masjid dan surau seluruh pelosok tanah air.
Pada malam program Israk Mikraj anjuran Surau Al-Mutmainnah, Pandan Perdana, Kuala Lumpur, lebih 500 jemaah yang hadir turut mendengar pengakuan ikhlas daripada pelakon dan pengacara, Catriona Noorhayati Ross Bahrin Ross atau lebih mesra dengan panggilan Cat.
Cerita Cat, semuanya bermula apabila dia menemankan sahabat karibnya ke sebuah butik tudung di KLCC kira-kira setahun yang lalu. Sewaktu sedang seronok mencuba satu tudung dan melihat wajah di cermin, tiba-tiba terbit satu perasaan pelik dan tanpa disedari air matanya berlinangan.
"Sebak, syahdu, hiba, semuanya bercampur-baur. Saya sedar perasaan pelik yang muncul tiba-tiba itu adalah hidayah daripada Allah SWT.
"Semenjak itu saya terus bertudung. Tekad saya, sekali bertudung insya-Allah saya akan kekal begini hingga ke akhir hayat dengan niat ikhlas tanpa paksaan suami mahupun keluarga," kata Cat, baru-baru ini.
Mendengarkan pengakuan telus dua selebriti itu cukup mengagumkan.
Hanya dengan bersalam dan sekadar suka-suka mencuba telah menjadi sentuhan ajaib daripada Allahkepada dua insan beruntung dan terpilih itu.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SK Tg Piandang - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger