Akaun e-mel peribadi setiap rakyat

0 comments

Mulai Julai ini rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan diberikan akaun e-mel peribadi menerusi web portal E-mel 1Malaysia yang membolehkan mereka menerima kenyataan dan makluman daripada kerajaan sebagai langkah mewujudkan perhubungan langsung antara rakyat dengan semua agensi awam.
Projek E-mel 1Malaysia (1MY) itu juga bagi mewujudkan perhubungan lebih telus dan selamat rakyat dengan kerajaan, di samping meningkatkan mutu perkhidmatan sektor awam kepada rakyat kerana ia berfungsi sebagai portal sehenti untuk perkhidmatan beberapa agensi kerajaan.
Ia juga akan melengkapi beberapa perkhidmatan dalam talian yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini seperti portal rasmi kerajaan, myGovernment dan portal aplikasi kerajaan elektronik (e-kerajaan), MyEG.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pengumuman projek baru Program Transformasi Ekonomi (ETP), di ibu negara semalam.

Laman portal sehenti berkenaan akan dibangunkan oleh syarikat senarai Bursa Malaysia, Tricubes Bhd dan menyediakan perkhidmatan sokongan seperti rangkaian sosial, pembayaran bil dalam talian dan permohonan kerakyatan menerusi pautan.

Ketua Eksekutif Tricubes, Khairun Zainal Mokhtar, berkata syarikat berkenaan yang terbabit dalam perniagaan kemudahan teknologi untuk segmen enterpris dan pengguna akan melabur RM50 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi membangunkan sistem e-mel berkenaan dan dijangka menyumbang RM39 juta kepada pendapatan negara kasar (PNK) menjelang 2020.
Khairun Zainal berkata, Tricubes akan memiliki dan mengendalikan sepenuhnya portal sehenti berkenaan kerana ia adalah inisiatif swasta.

“E-mel 1Malaysia akan menjadi e-mel peribadi rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan berkaitan kerajaan. Kami sedang meninjau untuk meletakkan notis dan pengumuman penting daripada kerajaan dihantar terus dalam peti e-mel pengguna,” katanya.

Ditanya mengenai perbezaan portal e-mel 1 Malaysia dengan MyEG, beliau berkata MyEG ditumpukan kepada perkhidmatan pembayaran bil, manakala E-mel 1Malaysia untuk menyampaikan notis dan maklumat kerajaan.

Beliau menjelaskan, Tricubes kini sedang meninjau beberapa cara untuk menjadikan pendaftaran akaun e-mel berkenaan secara automatik kepada pemegang MyKad berusia 18 tahun ke atas.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SK Tg Piandang - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger