1Pelajar 1Sukan 1Malaysia

0 comments

SATU pelajar, satu sukan untuk 1Malaysia.Ia wajib bagi setiap pelajar di seluruh negara bermula tahun hadapan.

Arahan baru ini antara strategi yang bakal dilaksanakan Kementerian Pelajaran (KPM) dalam usaha melahirkan warga yang berjaya dalam akademik dan sukan.

Potensi yang ada pada setiap pelajar itu akan dipergunakan sepenuhnya ke arah membentuk mereka menjadi seorang atlet atau pelajar yang cemerlang dan berwibawa.

KPM di dalam kenyataannya semalam yang difakskan kepada Kosmo! meminta semua Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan sekolah supaya membuat persiapan rapi berkaitan pembangunan sukan di sekolah-sekolah dengan menjadualkan program sukan sepanjang tahun dalam membuka ruang untuk setiap pelajar menyertai pelbagai jenis sukan di sekolah.

Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa KPM juga telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pembangunan Sukan di sekolah yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada wakil pelbagai pihak yang berkepentingan dalam sukan di negara ini.

Menteri Pelajaran sendiri akan merancang, melaksana dan memantau program pembangunan sukan di setiap sekolah di seluruh negara.

Beberapa strategi telah dikenal pasti dalam melaksanakan program ini.

Perinciannya pula akan dilakukan apabila data dan maklumat berkaitan sudah diperoleh daripada sekolah-sekolah bagi menentukan supaya strategi yang dikenal pasti menepati sasaran yang dikehendaki.

Oleh itu, pengetua, PPD dan JPN wajib mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan pelaksanaan dasar ini sejajar dengan hasrat melaksanakan konsep 1Malaysia serta mengembalikan kegemilangan sukan di sekolah.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin kecewa kerana agenda sukan sudah semakin dipinggirkan di semua sekolah diseluruh negara.

Beliau juga menegur peranan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) yang semakin ‘longlai’ menggerakkan aktiviti mereka.

Bagi menentukan MSSM kembali berfungsi seperti beberapa tahun dulu, Muhyiddin mengumumkan peruntukan berjumlah RM89 juta kepada MSSM bagi membolehkan mereka merangka strategi baru untuk memartabatkan sukan pada peringkat sekolah dan seterusnya negara.

Sumber : Harian Kosmo

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SK Tg Piandang - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger