Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran melaksanakan kajian itu.
"Saya sendiri tidak mampu menjawapnya," katanya ketika berucap sempena lawatannnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Maokil, Labis, di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh berkata, kajian itu yang akan dikendali Bahagian Kurikulum Bahasa Inggeris akan melihat sama ada kelemahan itu berpunca dari kekurangan guru Bahasa Inggeris, peralatan atau punca lain.
Katanya, murid mungkin beranggapan bahawa kemampuan menguasai Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua itu tidak penting untuk mereka, sehingga mengakibatkan mereka berhadapan dengan masalah ketika di peringkat universiti.
Beliau menolak tanggapan pelaksanaan dasar "Memartabat Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris" (MBMMBI), telah mengakibatkan Kementerian Pelajaran mengabaikan penguasaan Bahasa Inggeris.
"Itu tanggapan yang salah, saya dan Kementerian Pelajaran sentiasa menekankan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua," katanya.
Muhyiddin juga berkata, kementeriannya telah melakukan audit menyeluruh tentang kedudukan infrastruktur pendidikan negara, dalam usahanya untuk menyediakan keperluan infrastruktur yang diperlukan setiap sekolah.
Walaupun kementeriannya menerima peruntukan pembangunan di antara RM5 bilion hingga RM6 bilion setiap tahun, tetapi katanya, ini tidak mencukupi kerana bilangan sekolah di negara ini adalah besar serta pertumbuhan penduduk yang pesat memerlukan pembinaan sekolah baru.
Post a Comment