Ceupacs mohon naik semula ganjaran bersara pilihan

0 comments

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceu-pacs) memohon Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menaikkan semula ganjaran bersara pilihan (opsyen) kepada asal iaitu 100 peratus berbanding jumlah semasa 20 peratus atau RM10,000 (mana yang tinggi) dalam perbincangan bersama jabatan itu, semalam.

Presidennya, Omar Osman berkata, Ceupacs menerima banyak maklum balas berkenaan pengurangan wang ganjaran itu menyebabkan penjawat awam yang membuat pilihan bersara awal mengalami kesukaran mengatur kewangan masa hadapan.

“Ceupacs memohon supaya pengurangan ini dilakukan hanya dalam tempoh kegawatan ekonomi sekarang dan selepas masalah ini selesai, Ceupacs berharap kerajaan mengembalikannya semula kepada 100 peratus.

“Kita menyeru kepada kakitangan awam supaya membuat perancangan teliti terlebih dahulu sebelum membuat keputusan bersara awal memandangkan ekonomi sekarang tidak menentu, lebih-lebih lagi kepada kakitangan yang mempunyai pinjaman dan hutang,” katanya kepada :Sinar Harian:, semalam.

Mengenai kenaikan umur wajib bersara daripada 58 kepada 60 tahun, Omar berkata, perkara itu masih di dalam pertimbangan kerajaan.

Terdahulu, JPA mengetatkan permohonan bersara pilihan kakitangan awam Persekutuan, negeri dan badan berkanun serta tempatan dengan syarat baru yang diperkenalkan mulai 1 Februari lalu.

Syarat itu memerlukan kakitangan bersetuju menerima 20 peratus ganjaran atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi ketika bersara pilihan berbanding bayaran sekali gus seperti sebelum ini

Manakala baki ganjaran akan dibayar tidak melampaui usia bersara wajib pekerja terbabit.

Bagaimanapun kelonggaran diberikan bagi kes khusus membabitkan keperluan rawatan perubatan petugas atau keluarga, perbelanjaan pendidikan sendiri atau keluarga dan bagi mengelakkan tindakan bankrap kakitangan dengan menyatakan bukti bertulis.

Sumber : Sinar Harian
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SK Tg Piandang - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger