Pengerusi Kumpulan Rakan Siswa Malaysia (Karisma), Abu Naim Bakri berkata, sepatutnya ia lebih diberikan tumpuan kepada kumpulan tertentu, antaranya golongan yang memerlukan dan keluarga berpendapatan sederhana.
Menurutnya, penukaran baucer itu berlaku dipercayai berpunca daripada pelajar yang tidak memerlukan bantuan, berkemungkinan mereka ini daripada keluarga berada.
“Mereka tidak memerlukannya, lalu bertindak menjualnya, apa yang pasti pelajar yang terbabit dalam kegiatan itu adalah dalam jumlah kecil.
“Oleh itu kerajaan perlu meneliti penerima BB1M, agar perkara seperti ini tidak berulang serta merugikan, kerana wang tersebut tidak dapat digunakan oleh pelajar yang memerlukan,” katanya.
Abu Naim berkata, selain mengkaji latar belakang penerima, kerajaan boleh mencatatkan nama penerima di baucar agar ia tidak dipindah milik.
Selain itu katanya, kerajaan boleh mengaktifkan semula koperasi universiti dengan meletakan syarat bahawa baucar itu hanya boleh diguna pakai di koperasi sahaja.
“Ini langkah yang baik kerana koperasi dapat berfungsi semula, tetapi pelbagai barangan diperlukan bagi memenuhi permintaan pelajar untuk mereka menjalani pembelajaran atau penyelidikan.
“Keadaan koperasi sekarang memilukan, hampir keseluruhan bahan untuk pembelajaran tiada, oleh itu pelajar bertindak membeli dari luar,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd Shahar Abdullah berkata, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu mengambil tindakan terhadap pelajar yang berbuat sedemikian.
Menurutnya, perbuatan itu tidak seharusnya berlaku, mereka seharusnya menghargai pemberian kerajaan yang membantu pelajar di negara ini.
“Saya juga ingin menyeru agar pihak pentadbiran IPTA memantau kegiatan pelajar, agar perkara seperti ini tidak berulang, sekiranya perlu tindakan harus diambil terhadap mereka.
“Walaupun mereka yang terbabit dalam kegiatan ini tidak ramai, tetapi ia memalukan mahasiswa di negara ini,” katanya.
Terdahulu terdapat segelintir pelajar yang menerima bantuan BB1M daripada kerajaan bertindak menjualnya di laman sosial dengan harga di antara RM150 hingga RM200.
Kementerian Pengajian Tinggi telah memberikan amaran berhubung dengan kegiatan itu, dan akan merampas baucar berkenaan sekiranya ada pelajar yang cuba menyalahgunakan termasuk menjualnya dengan potongan harga tertentu.
Post a Comment