Tidak batal solat pakai sutera

0 comments


BOLEH atau tidak sutera yang dipakai oleh kebanyakan wanita dibawa sembahyang? Adakah berdosa jika seorang lelaki memakai pakaian yang dibuat daripada sutera dan apakah hukumnya jika ia digunakan untuk menunaikan sembahyang. Adakah sah sembahyangnya?

JAWAPAN:
Kepompong sutera adalah sesuatu yang keluar dari mulut ulat sutera yang kemudian dipintal menjadi kepompong yang membaluti dirinya. Ia bukan keluar dari jalan najasah (najis).
Dalam kitab Sabil-Al-Muhtadin, Syeikh Arsyad Banjari menyatakan ulat sutera dan telurnya adalah suci iaitu yang keluar daripadanya ulat sutera.
Berdasarkan keterangan di atas, jelaslah kepada kita bahawa sutera itu tidaklah najis, maka ia adalah sesuatu yang boleh disentuh, dipakai dan disimpan.
Hukum bagi seorang lelaki memakai pakaian daripada sutera adalah haram dan harus bagi wanita memakainya berdasarkan dalil hadis nabi yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi dari Abu Musa Al-Ansary. Katanya: "Rasulullah S.A.W bersabda: Telah diharamkan memakai sutera dan emas pada orang lelaki daripada umatku dan dihalalkan bagi orang perempuan mereka."
Lelaki muslim adalah berdosa memakai sesuatu yang diharamkan oleh syarak, sama ada ia dipakai dalam solat ataupun di luar solat. Diriwayatkan oleh Abi Daud, daripada Ali, katanya: "Aku melihat Rasulullah S.A.W memegang sutera di tangan kanannya dan emas di tangan kirinya, kemudian bersabda: Kedua-dua ini haram kepada orang lelaki daripada umatku."
Solat bagi lelaki dan wanita yang memakai pakaian daripada sutera adalah sah kerana sutera tidak dikira najis. Ini kerana syarat sah solat menyatakan pakaian hendaklah suci daripada najis.
Pengharaman memakai sutera bukan kerana kenajisan sutera tersebut di mana hanya lelaki yang dilarang memakainya dan tidak pada perempuan. Jika sekiranya sutera itu sesuatu yang najis, maka sudah tentu keharamannya juga meliputi kaum wanita.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SK Tg Piandang - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger